SEMUA PASAR DIBENAR BEROPERASI SEMULA

SEMUA PASAR DIBENAR BEROPERASI SEMULA

JOHOR BAHRU – Semua pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar awam dan bazar karat di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dibenarkan beroperasi seperti biasa berkuat kuasa serta-merta dengan syarat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil, sekiranya terdapat kes lokaliti penularan COVID-19 penutupan pasar-pasar tersebut boleh dilakukan selepas PBT mendapatkan laporan penilaian risiko dan khidmat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Ingin ditegaskan, PBT juga boleh mengambil tindakan penutupan serta-merta terhadap mana-mana pasar yang tidak mematuhi SOP ditetapkan PBT, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pematuhan SOP yang diambil serius ini adalah meliputi pemakaian topeng muka, penggunaan aplikasi MySejahtera atau mengambil rekod keluar masuk pengunjung, pengambilan suhu badan, kawalan laluan masuk dan sekiranya kawasan pasar itu tidak mempunyai pagar, ia perlulah mempunyai hadangan menggunakan tiang atau ditanda dengan pita bagi memastikan ada penjarakan sosial selain penjarakan antara setiap gerai yang ditetapkan adalah 1.5 meter atau 2 meter.

“Keputusan ini dibuat hasil mesyuarat melibatkan MKN, SUKJ Bahagian Kerajaan Tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai yang diadakan pada 18 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, kerajaan negeri menutup pengoperasian semua kategori pasar berkenaan bagi mengekang penularan COVID-19. – JT

(Visited 24 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: