RAGUT DI KLUANG, DIBERKAS DI JB

RAGUT DI KLUANG, DIBERKAS DI JB

KLUANG 271020 – Dua peragut yang melakukan samun terhadap seorang warga emas di Jalan Resak di sini Khamis lalu berjaya ditahan di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana di Larkin, Johor Bahru hari ini.

Sebelum ini kedua-dua suspek berkenaan yang melarikan diri selepas melakukan ragut kemudian melarikan diri ke Larkin namun berjaya diberkas pada pukul 1.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menyerbu sebuah rumah di Larkin.

“Hasil daripada serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun selain merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah ragut pada 22 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, dua lelaki tersebut menyamun seorang warga emas, 76, di jalan itu dan mengakibatkannya lebam di tangan kanan serta kirinya akibat ditolak semasa seorang suspek meragut rantai emasnya.

Kejadian itu turut menjadi tular dalam media sosial apabila rakaman litar TV tertutup (CCTV) di sebuah rumah di Jalan Resak tersebar dalam laman sosial.

Hang Seng berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah jenis methapethamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Soal siasat turut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mengaku melakukan jenayah ragut di Jalan Resak sebelum melarikan diri ke Johor Bharu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan dan mengenal pasti penglibatan dalam kes jenayah ragut di daerah Kluang.

“Bagaimana pun, soal siasat mendapati rantai emas yang dilaporkan diragut daripada wanita warga emas itu sudah dijual disebuah kedai pajak gadai di Simpang Renggam,” katanya. – JT

(Visited 30 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: