PPM WILAYAH 2 RAMPAS ARAK SELUDUP BERNILAI RM628,433

PPM WILAYAH 2 RAMPAS ARAK SELUDUP BERNILAI RM628,433

JOHOR BAHRU – Walaupun modus operandi sindiket penyeludupan minuman keras sentiasa berubah-ubah, namun Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 masih berjaya menghidu dan mematahkan kegiatan sindiket terbabit yang bergiat aktif di sekitar daerah ini.

Penguatkuasaan dan operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) serta Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor secara berterusan dijalankan dari semasa ke semasa.

Terbaharu PPM Wilayah 2 berjaya merampas 3229.02 liter arak tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM628,433 dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini semalam.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, rampasan pertama dibuat pada pukul 4.40 petang semasa PPM membuat rondaan di sekitar kawasan pantai Forest City, Iskandar Puteri.

“PPM melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan lalu mengekorinya sehingga ke Jalan Paya Manis sebelum membuat serbuan semasa dua lelaki sedang berurus niaga berhampiran sebuah kereta.

“Serbuan telah berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 24 tahun dan 52 tahun. Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemukan 28 karton arak seludup yang tidak mempunyai cukai kastam ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasil siasatan lanjut, serbuan kedua dan ketiga dilakukan pada jam 6 petang dan 7.30 malam di Taman Johor dan Taman Bukit Kempas.

Dalam dua serbuan susulan berkenaan, PPM merampas 235 kotak, 65 karton minuman keras dan sebuah kenderaan.

Nilai keseluruhan rampasan minuman keras dan dua buah kenderaan tersebut berjumlah RM703,433.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi PPM Wilayah 2 menerusi talian 07-2372221. – JT

(Visited 7 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: