PENGERUSI KOPERASI PECAH AMANAH DIJEL 8 TAHUN, 2 SEBATAN

PENGERUSI KOPERASI PECAH AMANAH DIJEL 8 TAHUN, 2 SEBATAN

JOHOR BAHRU 261020 – Seorang pengerusi sebuah koperasi peladang di Pekan Nanas, Pontian dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan
selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM300,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Alan Lim Boon Siong, 41, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim, Aizatul Akmal Maharani.

Aizatul Akmal menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula hari ini dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala empat tahun penjara serta satu sebatan bagi pertuduhan kedua yang dijalankan secara berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Boon Siong selaku Pengerusi Koperasi Peladang Jaya Pekan Nanas, Pontian telah menyalahgunakan kedudukannya dengan memindahkan dana koperasi ke dalam akaun peribadi miliknya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Pekan Nanas dengan memindahkan dana berjumlah RM100,000 ke dalam akaun peribadi miliknya pada 1 September lalu.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh yang menjawat jawatan itu sejak 2015 didakwa telah memindahkan dana berjumlah RM200,000 ke dalam akaun peribadi miliknya di lokasi sama pada 7 September lalu.

Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana masih perlu menanggung isteri dan ibu bapa yang sudah berusia.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – JT

(Visited 29 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: