PAS SOKONG MUHYIDDIN

PAS SOKONG MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR 271020 – PAS menegaskan parti itu memberikan sokongan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu turut menegaskan kesemua 18 Ahli Parlimen PAS menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin.

“PAS menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PAS juga menyokong PN yang prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS turut menyeru seluruh rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus istiqamah mempertahankan kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PN yang dibina bersama di atas keruntuhan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PAS turut menyeru seluruh rakyat berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak COVID-19 dengan segera dan negara kembali selamat, aman dan bersatu-padu.

“PAS turut menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebersamaan baginda dengan kerajaan dalam usaha gigih menguruskan dan menangani penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat jelata,” katanya.

Sementara itu, rakan PAS dalam Muafakat Nasional (MN), UMNO malam turut tadi memutuskan untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – BH

(Visited 26 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: