LUPUS BARANG KES BERNILAI RM1.2 JUTA

LUPUS BARANG KES BERNILAI RM1.2 JUTA

JOHOR BAHRU – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor hari ini melupuskan pelbagai barang kes yang dirampas bernilai RM1.2 juta sejak awal Januari lalu hingga sekarang.

Pengarahnya, Mohd. Khairul Anuar Bohro berkata, semua barangan yang dilupus itu melibatkan 155 kes dan 117,043 unit barangan.

“Daripada jumlah itu, kes yang melibatkan Akta Perihal Dagangan 2011 merupakan barang kes paling tinggi dilupus iaitu 128 kes melibatkan barangan tiruan yang dilupuskan berjumlah RM866,614.

“Kes melibatkan Akta Hak Cipta 1987 pula 19 kes dengan jumlah pelupusan berjumlah RM260,100. Bagi pelupusan melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961, terdapat tujuh kes dengan jumlah pelupusan RM41,025,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khairul berkata, bagi kes Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terdapat satu kes dengan jumlah pelupusan sebanyak RM75,440.

Jelas beliau, pelupusan barang kes berkenaan melibatkan beberapa barangan tiruan seperti pakaian, beg tangan, kasut dan jam tangan.

“Barangan melibatkan hak cipta seperti perisian komputer, video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD). Bagi pelupusan barangan kawalan melibatkan gula, minyak masak, tepung, gas cecair petroleum (LPG) dan diesel,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KDPNHEP Johor menasihatkan peniaga-peniaga khususnya agar mematuhi segala undang-undang perniagaan yang ditetapkan pihak kementerian terbabit.

Pengguna di Johor katanya, boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada pihak kementerian.

Caranya menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); Call centre 1800 886 800; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088; nombor aduan Whatsapp KPDNHEP 019-279 4317.

Ini termasuk juga emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP di seluruh negeri. – JT

(Visited 22 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: