KUMPULAN PERTAMA JEMAAH UMRAH KE MASJIDIL HARAM

KUMPULAN PERTAMA JEMAAH UMRAH KE MASJIDIL HARAM

JEDDAH: Selepas lebih enam bulan sekatan ibadat umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, Masjidil Haram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertama hari ini.

Lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia berkongsi kegembiraan apabila kumpulan jemaah ini dibenarkan masuk ke Masjidil Haram mulai jam 6 pagi selepas membuat permohonan melalui aplikasi I’tamarna yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sejak pertengahan Mac lalu, Arab Saudi mengambil pendekatan drastik bagi memerangi penularan COVID-19 dengan menggantung pelaksanaan ibadat umrah dan ibadat solat di Masjidil Haram.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung penerbangan antarabangsa dan melaksanakan perintah berkurung bagi mengelakkan peningkatan kes berikutan pandemik itu.

Bagi menampung kuota 6,000 jemaah yang dibenarkan dalam masa sehari, Kementerian Haji dan Umrah telah menyediakan lima lokasi berasingan termasuk di Al-Gaza, Ajyad dan Al-Shasha, bagi membolehkan jemaah bersama petugas kesihatan profesional menaiki bas ke Masjidl Haram.

Kedatangan kumpulan jemaah pertama ini akan disambut dengan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk mesin pengimbas haba yang ditempatkan di pintu masuk dan di dalam Masjidil Haram bagi memantau suhu badan dan mengeluarkan amaran berdasarkan keperluan.

Kira-kira 1,000 petugas sudah dilatih bagi memantau sepanjang proses ibadat umrah di Masjidil Haram, lapor agensi berita Arab News.

Selain itu, Masjidil Haram juga akan melalui proses pembersihan dan nyahkuman sebanyak 10 kali dalam masa sehari .

Kawasan mataf yang terletak di sekitar Kaabah yang boleh memuatkan sehingga 2.5 juta jemaah dipilih sebagai lokasi bagi umat Islam menjalani ibadat umrah kali ini.

Ruang khusus sebagaimana disediakan untuk jemaah yang melaksanakan ibadat haji pada Ogos lalu turut diperkenalkan bagi memudahkan akses sepanjang mereka berada di Masjidil Haram.

Presiden Hal Ehwal Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais yang merujuk kepada kebenaran diraja daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman turut memaklumkan jemaah dibenarkan mengerjakan untuk menziarahi Raudhah yang terletak di dalam Masjid Nabawi. –AGENSI

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: