KLUSTER BAYU PULA DIKESAN DI JOHOR

KLUSTER BAYU PULA DIKESAN DI JOHOR

JOHOR BAHRU 291020 – Kluster Bayu menjadi kluster terbaharu Johor dan mencatatkan lapan kes baharu wabak COVID-19 hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kluster baharu itu bermula daripada seorang lelaki berumur 29 tahun yang dikesan positif selepas saringan pada 23 Oktober lalu.

“Saringan kontak telah dijalankan dan mengesan tujuh lagi kes baharu melibatkan dua rakan sekerja dan lima ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi Kluster Kempas yang mula dikesan Isnin lalu, jumlah kumulatif kes positif yang dikesan setakat semalam seramai 33 orang.

Tiga pelajar antara dikesan daripada kluster itu manakala seramai 444 orang kontak telah dikenal pasti iaitu 395 disahkan negatif dan 49 lagi masih lagi menunggu keputusan, katanya.

Vidyananthan berkata, hanya satu kes positif COVID-19 dikesan menerusi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) daripada 9,815 pelawat yang menggunakan PCA hingga semalam selepas sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 17 Ogos lalu.

“Bagi kes melibatkan pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah, hingga 27 Oktober 2020, kumulatif kes positif kekal sebanyak 37 kes.

“Jabatan Kesihatan kekal melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu bagi menangani peningkatan kes semasa iaitu penyaringan di pintu masuk,” katanya.

Menurut beliau, keadaan semasa di Johor masih terkawal walaupun dijangka berlaku peningkatan kes dalam masa terdekat berikutan kemasukan kes import dan aktiviti ujian pengesanan yang dipertingkatkan.

“Diharapkan semua pihak dapat bertenang dan tidak menimbulkan panik dalam kalangan umum dengan menyebarkan maklumat yang kurang tepat.

“Rakyat juga diingatkan sentiasa mematuhi dan mengamalkan normal baharu iaitu penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan kebersihan diri,” katanya. – JT

(Visited 56 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: