KES DENGGI SEMAKIN POSITIF DI JOHOR

KES DENGGI SEMAKIN POSITIF DI JOHOR

JOHOR BAHRU – Jumlah kes denggi di negeri ini mencatatkan penurunan, iaitu 261 kes minggu ini berbanding 279 kes pada minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu berkata, perkembangan itu menunjukkan bilangan kes denggi menurun sejak Kempen Johor Perangi Denggi 2020 dilancarkan pada 23 Ogos lalu.

“Hingga 30 September lalu, sebanyak 9,396 kes denggi dilaporkan dengan 35 kematian akibat denggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, satu pendekatan bagi mencapai kejayaan memerangi denggi adalah dengan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang membiak aedes menerusi Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI).

Jelasnya, OPPI merupakan aktiviti utama yang dijalankan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 untuk memastikan masyarakat peka dan bertanggungjawab menghentikan penularan denggi.

“OPPI merupakan operasi bersepadu melibatkan agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

“Sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, maka kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan. Sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Aman berkata, sejak semalam pihak Jabatan Kesihatan negeri mengadakan aktiviti OPPI di kawasan wabak denggi di Taman Perling yang merekodkan 219 kes denggi dari awal tahun hingga 26 September lalu.

“Dalam operasi yang dijalankan melibatkan seramai 177 anggota kesihatan pada hari ini pula, 1,507 premis diperiksa dan 20 daripadanya didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

“Di persekitaran awam pula, sebanyak 25 tempat pembiakan ditemui di antaranya di bekas-bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar. Sebanyak 1,461 bekas yang berpotensi untuk pembiakan turut dijumpai,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan aktif bagi mencari dan memusnahkan tempat-tempat takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi pembiakan Aedes, termasuk penjagaan kebersihan persekitaran dan pembuangan sampah secara teratur dalam mencegah denggi.

Menurutnya, masyarakat harus memberi kerjasama kepada petugas kesihatan melakukan pemeriksaan rumah atau semburan kabus, terutama di kawasan kes denggi.

“Sehingga kini, sebanyak 49 OPPI telah dijalankan di seluruh negeri bagi memerangi ancaman denggi,” ujarnya. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: