KANAK-KANAK TERJATUH BASIKAL MAUT DILANGGAR LORI

KANAK-KANAK TERJATUH BASIKAL MAUT DILANGGAR LORI

KLUANG 101020 – Kegembiraan seorang kanak-kanak bermain basikal berakhir tragedi apabila dilanggar sebuah lori satu tan di kawasan perumahan Taman Rekamas 2, Simpang Renggam, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4 petang, Abang Muhammad Haizad Abang Thimbone, 12, sebelum itu bermain basikal di tengah jalan tersebut sebelum dipercayai terjatuh dan dilanggar lori jenis Daihatsu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pemandu lori, Chan Kim Sian, 52, dikatakan tidak sedar melanggar kanak-kanak berkenaan.

“Sebaik menyedari telah melanggar sesuatu, pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaannya kira-kira 15 meter dari mangsa terbaring.

Semasa polis tiba, mangsa masih berada di tengah jalan manakala basikalnya dipercayai sudah pun dialihkan ke tepi jalan.

“Abang Muhammad Haizad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, manakala pemandu lelaki berumur 52 tahun itu kini ditahan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – JT

(Visited 26 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: