JOHOR TELITI SEMULA SOP DAN KEBENARAN SOLAT DI SURAU, MASJID

JOHOR TELITI SEMULA SOP DAN KEBENARAN SOLAT DI SURAU, MASJID

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti keagamaan di surau dan masjid sekiranya kes COVID-19 terus meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, SOP sedia ada yang menetapkan satu pertiga kapasiti masjid dan surau bagi aktiviti termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat ketika ini masih kekal sehingga keputusan baharu diputuskan.

“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat sekiranya trend jangkitan kes COVID-19 terus menunjukkan peningkatan seperti beberapa hari lalu.

“Ini penting bagi kita meneliti semula sama ada terdapat keperluan meminda semula SOP aktiviti keagamaan di surau dan masjid negeri ini bagi mengelakkan penularan berlaku kepada jemaah pula,” katanya selepas merasmikan Program Mesra Prihatin Makmur Johor di Dataran Beringin Taman Beringin, Senai, di sini hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, sembilan kontak rapat suami isteri yang mencetus Kluster Bakawali di Johor Jaya dan disahkan positif COVID-19, Rabu lalu, meningkatkan kebimbangan masyarakat negeri ini mengenai penularan wabak berkenaan.

Johor membenarkan solat Jumaat, solat jemaah fardu lima waktu, solat Aidiladha serta aktiviti agama dijalankan mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau bermula, Jun lalu.

Tosrin berkata, sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri Johor mengenai sama ada jika kaedah baharu SOP surau dan masjid perlu dibuat akan dipersembahkan dahulu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Pihaknya juga akan meneliti semula status Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) jika penularan kes wabak Covid-19 terus mencatat peningkatan.

Pada masa sama kata beliau, pihaknya sedang meneliti rapat kes semasa Covid-19 di negeri ini termasuk Kluster Bakawali di kawasan Johor Jaya. – JT

(Visited 4 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: