JOHOR RANGKA PELAN INDUK TAMADUN MELAYU ANTARABANGSA

JOHOR RANGKA PELAN INDUK TAMADUN MELAYU ANTARABANGSA

JOHOR BAHRU 081020 – Johor menjadi negeri pertama merangka Pelan Induk Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa bagi menggerakkan usaha ke arah membangunkan serta mendokumentasikan secara teratur sejarah dan kejayaan Tamadun Melayu.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pelan itu akan merangkumi sembilan teras strategik yang menjadi aspek penting dalam pembangunan dan pemerkasaan Tamadun Melayu Johor.

“Sembilan aspek berkenaan adalah Institusi Islam dan Kesultanan Melayu, Ekonomi Melayu, Iltizam Politik, Bahasa dan Persuratan Melayu, Pelancongan Warisan dan Budaya, Warisan Budaya Johor, Pendidikan dan Pengislahan Awam, Pustaka Warisan Digital dan Kepemimpinan Melayu Johor.

“Kesemua teras strategik berkenaan dapat mewakili semua aspek penting dalam pembangunan dan pemerkasaan Tamadun Melayu Johor.

“Tambahan lagi, bagi menjayakan perlaksanaan pelan induk ini, konsep ‘Projek Berjenama’ telah diperkenalkan. ‘Projek Berjenama’ bertujuan untuk mengangkat aspek-aspek Tamadun Melayu Johor menerusi aktiviti-aktiviti berterusan,” katanya semasa melancarkan buku Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025, di sini hari ini.

Menteri Besar berkata, Pelan Induk Johor itu dibangunkan dan dijayakan oleh pasukan penggubal dan penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Pelan induk ini sewajarnya menjadi jalan pencerahan untuk kita menghidupkan Tamadun Melayu.

“Saya berharap, pelan induk ini janganlah hanya menjadi dokumen ‘coffe table’. Ia harus menjadi rangka tindakan untuk membangun dan mempromosi kearifan bangsa Melayu dan dunia Melayu,” katanya. – JT

(Visited 15 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: