JANGAN PANDANG RINGAN COVID-19, PATUHI SOP – SULTAN JOHOR

JANGAN PANDANG RINGAN COVID-19, PATUHI SOP – SULTAN JOHOR

JOHOR BAHRU – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya rakyat tidak mengambil mudah peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Sultan Johor mengingatkan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

“Jangan mengambil mudah peningkatan kes-kes baharu COVID-19 di seluruh negara. Patuhi amalan SOP bagi mencegah penularan wabak ini.

“Sekiranya orang ramai masih ingkar untuk mematuhi amalan SOP yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini, maka penularan wabak berkenaan tidak dapat dibendung.

“Walaupun pasukan barisan hadapan bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka, namun kita juga perlu berganding bahu untuk memutuskan rantaian jangkitan ini,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), di sini hari ini.

Baginda berharap orang ramai tidak leka atau memandang ringan penularan wabak berkenaan dan seharusnya bersama-sama mematuhi SOP.

Sultan Johor bertitah, kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes secara mendadak.

“Kita perlu ingat jika PKP dilaksanakan semula, sudah tentu ia akan memberi pelbagai implikasi kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Saya pasti rakyat tidak mahu keadaan ini berlaku. Oleh demikian jangan pandang ringan perkara ini sebaliknya sentiasa patuh pada SOP,” titah baginda. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: