HASIL DIJANGKA KURANG 20 PERATUS, JOHOR PERKUKUH JAMINAN BEKALAN MAKANAN

HASIL DIJANGKA KURANG 20 PERATUS, JOHOR PERKUKUH JAMINAN BEKALAN MAKANAN

JOHOR BAHRU – Hasil negeri ini dijangka berkurangan sehingga 20 peratus kerana pelbagai pelepasan yang diberikan kepada beberapa sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, antara pelepasan itu termasuk pemberian rebat cukai tanah.

“Baru-baru ini saya telah mengumumkan pemberian rebat terhadap pembayaran cukai tanah. Bagi tahun 2020, rebat sebanyak 15 peratus diberi, manakala bagi tahun 2021, 10 peratus dan 2022, 5 peratus.

“Inisiatif itu sahaja akan mengurangkan kutipan cukai kerajaan negeri lebih RM250 juta. Tetapi langkah ini perlu dilakukan bagi membolehkan sektor yang menyumbang kepada ekonomi negeri untuk terus kekal beroperasi,” katanya semasa merasmikan Persidangan Sains Tanah Malaysia di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Datuk Dr. Marzalina Mansor dan Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, Dr. Rosazlin Abdullah.

Smentara itu, beliau memberitahu, Johor juga akan memperkukuhkan Rangka TIndakan Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor untuk menjadi hab pembekalan makanan bukan sahaja bagi negara, malah negara jiran.

Beliau berkata, perkara itu merupakan salah satu ikhtiar yang dimasukkan dalam Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkan beliau sebelum ini.

Menurutnya, negara jiran Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menunjukkan minat terhadap Johor dalam hal berkenaan dan kerajaan negeri telah memulakan perbincangan berkenaan perkara itu.

“Kita telah meninjau bahawa negara Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi tumpuan bagi jaminan bekalan negara-negara mereka dan tentunya Johor dari segi lokasinya kepada Singapura adalah destinasi pilihan.

“Malah, Singapura mengimport lebih RM500 juta nilai makanan setiap bulan.

“Menerusi Kementerian Luar juga, UAE juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab makanan dan Johor telah menerima saranan supaya dapat meningkatkan lagi keupayaan untuk mengeluarkan produk-produk makanan berasaskan akuakultur, buah-buahan dan sebagainya yang sememangnya menjadi kekuatan utama sektor pertanian di negeri ini,” katanya. – JT

(Visited 15 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: