DUA BERANAK MAUT, TIGA CEDERA DALAM KEMALANGAN

DUA BERANAK MAUT, TIGA CEDERA DALAM KEMALANGAN

BATU PAHAT – Dua beranak maut dan tiga lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 78, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur masuk Tol Ayer Hitam, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.08 tengah hari, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki semua mangsa terbabas sebelum merempuh papan tanda arah di tepi bahagian kiri lebuh raya.

Dua mangsa, Mohd. Amirudin Abd. Razak, 19, yang duduk di kerusi penumpang belakang kanan dan Abd. Razak Mohd. Mahudin, 50, penumpang bahagian depan meninggal dunia.

Tiga lagi mangsa, Mohd. Hamizan Abd. Razak, 27, yang memandu kereta itu selain Rahimah Yaman, 49, yang merupakan penumpang belakang kiri dan Nurul Nahirah Abd Razak, 21, penumpang belakang kiri cedera parah.

Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dihantar ke tempat kejadian.

Komandan Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Nasrul Rahman Rusdi berkata, bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan dua mangsa wanita yang cedera.

“Pemandu kenderaan berkenaan dapat menyelamatkan diri keluar daripada kenderaan berkenaan.

“Dua mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan.

Operasi berkenaan katanya, ditamatkan pada pukul 1.23 petang. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: