COVID-19: PASAR HARIAN DI SIMPANG RENGGAM DITUTUP

COVID-19: PASAR HARIAN DI SIMPANG RENGGAM DITUTUP

KLUANG – Semua operasi pasar harian di bandar ini diarahkan supaya dihentikan sementara berkuat kuasa esok berikutan penularan koronavirus (Covid-19) di kawasan pentadbirannya kelmarin.

Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohamad Sukry Abd. Rahim berkata, tempoh penutupan sementara operasi bergantung kepada perkembangan dan tahap penularan wabak yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Pasar harian yang ditutup operasinya adalah Pasar Kompleks Industri Kecil Sederhana (IKS) di Simpang Renggam, Pasar Bukit Keremoi, Machap dan Pasar Jalan Puteri, Pekan Layang-Layang.

“Turut ditutup operasinya adalah Pasar Jalan Lingkaran 3, Taman Sri Lambak; Pasar Jalan Stesen, Renggam dan semua pasar tani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Simpang Renggam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semua peniaga pasar sehari pagi, pasar malam dan pasar tani dikehendaki memberhentikan sementara aktiviti jualan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Mohamad Sukry menegaskan, sekiranya peniaga ingkar pemilik lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Jelasnya, arahan itu selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDSR mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171.

“Pemakluman dan arahan ini dikeluarkan dari semasa ke semasa dan akan dipinda tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada pihak kerajaan negeri,” katanya. – JT

(Visited 19 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: