BN TAK BERTANDING PRK BATU SAPI – BUNG MOKTAR

BN TAK BERTANDING PRK BATU SAPI – BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU 101020 – Barisan Nasional (BN) Sabah akur dan menyokong Keputusan BN Pusat untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mencegah penularan COVID-19.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu sebelum ini sudah dibincangkan di peringkat negeri dan ia dipersetujui sebulat suara pemimpin BN negeri.

“BN Sabah menghormati dan menyokong keputusan itu memandangkan Sabah ketika ini berdepan dengan gelombang pandemik COVID-19 yang angkanya saban hari meningkat dan amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan medianya sebelum ini menyatakan keputusan BN untuk tidak bertanding pada PRK itu disebabkan peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Liew Vui Keong, minggu lalu.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata keputusan itu juga selaras dengan tumpuan kerajaan negeri ketika ini, iaitu untuk membendung penularan COVID-19.

“Lebih baik bagi kerajaan negeri dan BN memberikan tumpuan untuk membantu rakyat menangani keperitan hidup akibat kegawatan ekonomi disebabkan pandemik yang belum berkesudahan ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata sudah tiba masanya ahli politik di negeri ini untuk bersolidariti bersama tanpa mengira fahaman politik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sekarang bukan masanya menuding jari antara satu sama lain mengenai punca peningkatan wabak COVID-19. Perkara ini adalah musibah yang perlu ditangani bersama tanpa mengira fahaman politik,’ katanya.

Dalam hubungan itu, katanya, jemaah Kabinet negeri menerusi mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, sebelum ini bersetuju memperuntukkan RM50 juta bagi mengekang penularan COVID-19, selain membantu rakyat terjejas.

Katanya, RM10 juta daripada dana digunakan untuk memberikan bakul makanan untuk penduduk di empat daerah iaitu Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak kira-kira dua minggu lalu.

Tempoh PKPB di daerah itu dipanjangkan sehingga 26 Oktober ini.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan penyaluran bantuan di enam lagi daerah iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar dan Sandakan dengan setiap daerah diagihkan RM2 juta. – BH

(Visited 14 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: