BAJET JOHOR 2021 BERI FOKUS ISU RAKYAT PASCA COVID-19 – @Hasni_Johor

BAJET JOHOR 2021 BERI FOKUS ISU RAKYAT PASCA COVID-19

KOTA ISKANDAR – Belanjawan Johor 2021 yang akan dibentangkan bulan depan akan memberi fokus terhadap usaha menangani permasalahan rakyat secara holistik.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, belanjawan berkenaan kini berada dalam fasa terakhir perbincangan dengan jabatan-jabatan yang terlibat.

“Dalam merangka Bajet 2021, kita melihat pelbagai perkara termasuk melihat semula garis kemiskinam baharu yang telah ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga akan melihat bagaimana untuk meningkatkan kembali ekonomi dengan memberi tumpuan terhadap sektor penting seperti pembuatan dan perkhidmatan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman YPJ, Kota Tinggi di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn. Bhd., Datuk Amran A. Rahman.

Pada majlis itu, seramai 10 penjawat awam menerima kunci rumah masing-masing yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar.

PPAM di Taman YPJ yang terletak di Bandar Akademi YPJ di Jalan Kota Tinggi berkeluasan 27.2 hektar dan mempunyai 694 unit rumah teres dua tingkat dengan Kos Pembangunan Kasar (GDC) RM230 juta.

Projek tersebut mula dibina pada Mei 2016 dan siap sepenuhnya serta mendapat Sijil Layak Menduduki pada 2 September lalu. – JT

(Visited 24 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: