AMANAH JOHOR TOLAK CADANGAN DARURAT

AMANAH JOHOR TOLAK CADANGAN DARURAT

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menolak inisiatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mencadangkan darurat dilaksanakan di negara ini.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, cadangan itu tidak wajar kerana berkemungkinan besar menjejaskan keyakinan pelabur asing dan memberi kesan kepada ekonomi.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Yaani itu berkata, cadangan berkenaan boleh menyebabkan rakyat bertambah terbeban dengan kesannya sedangkan pelbagai langkah lain boleh dilakukan untuk mengawal COVID-19 serta tidak kesan terhadap ekonomi.

“Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan mencukupi bagi menyediakan langkah pencegahan penyebaran Covid-19 termasuk kuasa untuk membuat peraturan, kawalan pergerakan orang ramai dan menggerakkan pasukan bersenjata.

Langkah berkenaan sudah dilaksanakan semasa gelombang pertama dan terbukti berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota, Kuantan, Pahang yang dikaitkan dengan perbincangan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat.

Beliau berkata, tiada sebarang pelanggaran undang-undang dilakukan rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti demontrasi jalanan atau huru hara yang memerlukan darurat dilaksanakan.

Justeru, Amanah menolak cadangan itu sekeras-kerasnya kerana apa yang dicadangkan lebih kepada cubaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan kedudukannya.

Aminolhuda berkata, Muhyiddin tidak harus mengheret negara dan rakyat ke dalam kancah darurat hanya kerana ‘survival‘ politiknya.

Cadangan itu dilihat mementingkan diri dan percaya rakyat juga akan menolaknya kerana kesannya amat besar terutama dalam kehidupan harian.

“Tiada alasan kukuh untuk melakukan darurat di negara ini. Sekiranya berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan dan beliau bimbang belanjawan itu tidak diluluskan, itu bermakna beliau sendiri yakin yang dirinya telah hilang majoriti.

“Cara yang terbaik adalah beliau melepaskan jawatan dan bukan mengheret negara dan rakyat yang semakin tertekan daripada terjerumus dalam kancah darurat di negara yang aman ini,” katanya.

Menurutnya, Muhyiddin tidak sewajarnya menjadikan wabak itu sebagai satu alasan dan maklum balas rakyat berhubung cadangan tersebut dapat dilihat dalam media sosial.

“Semalam terus tular slogan ‘Muhyiddin Out’ di ‘twitter’ dan beberapa media sosial yang lain. Itu menandakan rakyat sedar kesannya terhadap ekonomi, sosial dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan kehidupan mereka,” katanya. – JT

(Visited 15 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: