9 PEMANDU MABUK DIDAKWA

9 PEMANDU MABUK DIDAKWA

JOHOR BAHRU 261020 – Sembilan individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol pada 23 hingga 25 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 25 hingga 56 tahun itu didakwa mengikut pindaan baharu di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 berkuatkuasa Jumaat lalu.

Mereka didapati memandu kereta di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 50 miligram dalam 100 mililiter darah.

Lapan daripada tertuduh membuat pengakuan bersalah manakala seorang lagi minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Asidah A.Rahman.

Nur Asidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dari tarikh sabitan kes, denda RM10,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun terhadap tujuh lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah.

Jika gagal membayar denda mereka akan dipenjara selama 10 bulan.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan jaminan RM13,000 kepada tertuduh yang membuat pengakuan tidak bersalah dan menetapkan tarikh 26 November depan bagi sebutan semula kes.

Sembilan tertuduh berkenaan merupakan antara individu terawal di negara ini yang didakwa mengikut pindaan undang-undang baharu tersebut.

Terdahulu, Pegawai Pendakwaan Trafik, Asisten Superintenden Azmi Abdul Salam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh dan masyarakat awam.

Sementara kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan meminta hukuman minimum atas alasan mereka perlu menanggung keluarga serta telah insaf atas kesalahan dilakukan.

Pendakwaan bagi kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun. – JT

(Visited 14 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: