6 KAPAL CHINA DITAHAN CEROBOH PERAIRAN NEGARA

6 KAPAL CHINA DITAHAN CEROBOH PERAIRAN NEGARA

KOTA TINGGI – Maritim Malaysia menahan enam buah vesel asing kerana menceroboh perairan negara di Tanjung Setapa, dekat sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, vesel itu dikesan Lembaga Pelabuhan Johor pada pukul 9 pagi lalu memaklumkannya kepada Zon Maritim Tanjung Sedili.

“Kapal ronda maritim mengesan tiga vesel asing itu pada kedudukan 2.1 batu dan tiga lagi pada kedudukan 2.3 batu nautika selatan Tanjung Setapa.

“Vesel itu yang digunakan untuk menangkap ikan didapati merapat antara satu sama lain. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua vesel yang berdaftar di Qinhuangdoa, China,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vesel berkenaan dikendalikan enam nakhoda dan 54 kru warga China berumur antara 31 hingga 60 tahun.

Mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran berlabuh di lokasi berkenaan daripada Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor, katanya.

Enam nakhoda dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut dan semua mereka turut menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan penularan pandemik yang melanda.

Jelasnya, kesemua vesel tanpa muatan tersebut dipercayai dari China menuju ke Mauritania untuk menangkap ikan sebelum berlabuh kerana ada antara vesel mengalami kerosakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana nakhoda vesel asing itu memasuki perairan negara tanpa pemakluman dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kelulusan Pengarah Jabatan Laut.

Jika bersalah nakhoda boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta seorang dan kru RM600,000 seorang di bawah Akta Perikanan 1985.

Bagi Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. – JT

(Visited 13 times, 2 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: