3 MAUT, 3 PARAH KERETA BERTEMBUNG DENGAN LORI

3 MAUT, 3 PARAH KERETA BERTEMBUNG DENGAN LORI

SARATOK 271020 – Tiga maut, manakala tiga lagi parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori kargo di Kilometer 51 Jalan Saratok-Sarikei, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa terkorban ialah pemandu Proton Iswara Aeroback terbabit, Raju Lian, 43, bersama dua penumpangnya, Vanessa Deborah Medan, 16, serta Irene Jerah, 44.

“Tiga lagi penumpang kereta itu dikenali sebagai Baxter Bone Raju, 20; Geneyses Rachel Raju, 15; dan Moses Medan, 13, pula parah,” katanya.

Bagaimanapun, Alexson berkata, pemandu lori terbabit yang juga seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang dikerahkan ke lokasi, membantu mengeluarkan semua mangsa berkenaan yang tersepit di dalam kenderaan.

“Pasukan paramedik yang melakukan pemeriksaan mengesahkan tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala serta badan,” katanya.

Difahamkan, mayat tiga mangsa terbabit kemudian dibawa ke Hospital Saratok untuk proses bedah siasat.

Alexson berkata, tiga mangsa lain diberikan rawatan awal di Hospital Saratok sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta terbabit yang bergerak dari arah Betong, dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori sedang bergerak laju.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BH

(Visited 36 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: