150 PENIAGA DI TBLS AKAN DIBANTU

150 PENIAGA DI TBLS AKAN DIBANTU

JOHOR BAHRU 251020 – Masalah 150 peniaga di Terminal Bas Larkin Sentral (TBLS) di sini yang terjejas perniagaan akibat COVID-19 akan dicari jalan penyelesaiannya dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankusa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Izhar Ahmad berkata, antara bantuan yang boleh dilakukan dengan memberi potongan sewa kepada peniaga sekali gus mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

“Kita akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang perkara berkenaan bersama-sama peniaga dan pihak pengurusan terminal bas tersebut esok.

“Saya dimaklumkan, peniaga di TBLS diberikan kelonggaran dan tidak perlu membuat sebarang pembayaran sewa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Semasa PKP kita beri mereka percuma dan selepas PKP kita kenakan sewa berperingkat 30 hingga 50 peratus diskaun kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P (Pemulihan, Pemerkasaan dan Peningkatan) Geran Food Truck Johor di sini hari ini.

Mohd. Izhar berkata, pihak pengurusan TBLS perlu mengutip sewa untuk menampung kos mereka dan hanya pada Jun hingga September lalu mendapat bayaran sewa penuh namun kesannya pula terhadap peniaga.

Baru-baru ini peniaga berkenaan dilaporkan bakal gulung tikar selepas tidak mampu bayar sewa kerana kekurangan pelanggan sejak PKP selain faktor menutup sempadan kerana pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik menggunakan perkhidmatan bas dan teksi di terminal bas itu.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang berusaha meminta kerajaan Persekutuan membenarkan pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka segera.

Jelasnya, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad sudah bertemu secara peribadi dengan Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bagi tujuan itu.

“Semuanya bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP). Kita sudah buat perbentangan tentang SOP dan kaedah kita antara kerajaan dengan kerajaan Singapura bagi memastikan tiada kluster-kluster baharu wujud.

“Dengan kes yang mendadak setiap hari, kita kena seimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam. Tetapi bagi pemain industri ini, ekonomi adalah utama dan kesihatan adalah risiko. Apa juga keputusan kita perlu tunggu kerajaan Persekutuan yang memutuskan,” katanya. – JT

(Visited 16 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: