KOTA TINGGI – Seorang warga emas maut, manakala isterinya cedera parah selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 16, Jalan Kota Tinggi-Kulai, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan kira-kira pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Apu Kadam, 71, yang memandu kereta Proton Saga meninggal dunia di tempat kejadian.

“Isterinya pula, Jamilah Ahmad, 73, mengalami cedera parah. Pemandu kereta Proton Persona, Barka Aluwi, 72, dan isterinya yang berusia 71 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Saga dipandu Apu tersebut yang dalam perjalanan menghala ke arah Kulai hilang kawalan.

Menurutnya, semasa tiba di tempat kejadian berhadapan Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Proton Saga itu terbabas ketika melalui laluan curam menuruni bukit lalu masuk ke jalan bertentangan.

Kereta mangsa kemudian dilanggar Proton Persona yang kedua-dua mangsanya juga merupakan pasangan suami isteri.

Kes disiasat di bawah Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *