UiTM-MPPG KUKUH KERJASAMA DALAM PELBAGAI BIDANG @uitmofficial @MP_PASIRGUDANG

PASIR GUDANG – Bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

MoU itu ditandatangani di Menara Aqabah, di sini antara Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof Dr. Ismail Ahmad dan Yang Dipertua MPPG, Zainor Adani.

Dr. Ismail berkata, MoU itu akan memberi tumpuan terhadap aspek-aspek pembangunan profesional, akademik dan projek-projek bersifat keusahawanan dan kelestarian alam sekitar.

“Ini termasuk projek edukasi solar di kampus Pasir Gudang yang bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak di samping memberi pendedahan berkaitan proses penjanaan kuasa tenaga solar kepada masyarakat sekeliling.

“MoU tersebut turut menumpukan usaha mewujudkan persefahaman hubungan khidmat komuniti dan menyediakan ruang kursus dan latihan yang relevan kepada penuntut,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani MoU berkenaan.

Beliau berkata, ini termasuk peluang tajaan untuk melanjutkan pelajaran bagi warga MPPG di UiTM dan kerjasama dalam bidang berpotensi yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Katanya, dengan termeterainya persefahaman tersebut, diharapkan agar lebih banyak kerjasama dapat dijalankan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Zainor berkata, kemampuan serta kepakaran dimiliki UiTM akan menjayakan kerjasama tersebut.

MPPG, katanya, melihat UiTM mempunyai pelbagai kepakaran yang mantap dan pihaknya yakin kolaborasi itu akan mendatangkan input dan impak positif terhadap kedua-dua pihak.

“Antara projek lain yang bakal diusahakan bersama-sama adalah Projek Sungai Angkat, Khidmat Komuniti Pelajar, Imam Tahfiz UiTM dan Taman Komuniti Pasir Gudang,” katanya. – JT

(Visited 18 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: