TAWAR KERJA SEMPENA PROGRAM HARI MALAYSIA

JOHOR BAHRU – Orang ramai berpeluang untuk mengisi kekosongan pekerjaan melalui sesi temuduga terbuka yang akan diadakan bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

Antara syarikat korporat yang bakal mengadakan temuduga terbuka itu adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), AEON dan syarikat e-hailing, Best Ride bermula pada pukul 10 pagi.

Program itu adalah antara pengisian Program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin anjuran Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor Bahru.

Ketua Srikandi Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif berkata, pelbagai program sehari itu diadakan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda (Azlinda Unity Wellness Center) di Balai Raya Taman Suria.

“Bermula dari pukul 8 pagi, kami adakan pasar pagi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) dan ini membuka peluang orang ramai untuk berbelanja sambil berjimat.

“Sesi khidmat nasihat bagi usahawan juga akan berlangsung dari pukul 9 pagi melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tekun Nasional dan Majlis Bandaraya Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, usahawan berpeluang mendapatkan khidmat nasihat mengenai pembiayaan perniagaan, pendaftaran perniagaan serta mendapatkan lesen perniagaan.

Penganjur katanya, akan turut menyampaikan biasiswa berjumlah RM168,000 bagi 30 pelajar mendalami pendidikan Perubatan Senaman yang disalurkan sebuah institusi terkemuka, MS New Symphony Exercise Clinic melalui satu sesi pada pukul 3 petang.

Menurutnya, orang ramai juga dipelawa untuk menghadiri sesi khidmat nasihat kekeluargaan yang bakal disampaikan oleh Pakar Fisiologi dan Pemakanan Sihat, Dr. Adibah Alawiyah dan Pakar Kekeluargaan dari Kemajuan Masyarakat (Kemas), Rohana Mustafa.

“Kami juga akan menyampaikan pelbagai bantuan khusus untuk golongan memerlukan pada sebelah tengah hari selain sesi pendidikan yang dikendalikan oleh pakar akademik dan pakar bidang kemahiran,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program itu sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan penduduk setempat selain ruang penyenaraian produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti barang makanan dan jahitan dihasilkan golongan B40.

Selain itu, katanya, bagi memperkenalkan Pusat Kesihatan Komuniti berkenaan yang menyediakan khidmat percuma melibatkan sesi perundingan dan senaman dengan peralatan gimnasium kepada golongan masyarakat yang mengalami empat penyakit iaitu darah tinggi, diabetes, jantung dan obesiti.

Beliau berkata, program akan berlangsung dalam suasana normal baharu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi wakil penganjur di talian 017-7222945 atau 012-7072982. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *