JOHOR BAHRU – Jabatan Perikanan Johor memberi jaminan dan mengesahkan tiada lagi berlaku Ledakan Alga Berbahaya (HAB) daripada spesies Alexandrium Minutum di Selat Tebrau di sini.

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk makan ikan dan kerang-kerangan di negeri ini kerana sudah tiada lagi HAB.

“Hasil pemantauan berterusan yang dijalankan, tiada lagi berlaku kehadiran HAB. Namun buat masa ini kita masih memantau kawasan perairan terlibat dan sekitarnya walaupun keadaan telah kembali sediakala.

“Ini kerana HAB hanya berlaku di Selat Tebrau Timur iaitu perairan Kuala Masai–Teluk Jawa dan bukannya di keseluruhan perairan Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 30 Ogos lalu, satu ciapan dimuat naik dalam Facebook Pejabat Perikanan Negeri Johor memaklumkan kehadiran HAB jenis spesies itu.

Ekoran daripada itu, masyarakat umum mulai panik dan takut untuk membeli ikan dan kerang-kerangan di pasaran.

Jelas Noraishah, notis tersebut tidak pernah melarang orang awam makan ikan dan kerang-kerangan di negeri ini.

Katanya, notis tersebut dimuat naik bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berjaga-jaga tentang kehadiran alga berbahaya.

Beliau berkata, notis itu juga memohon orang awam bekerjasama melaporkan segera sekiranya terdapat lagi tanda-tanda kemunculan alga.

Sebarang maklumat boleh menghubungi Pejabat Perikanan Negeri Johor menerusi talian 07-5104808/4722 atau faks di talian 07-5095372. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *