SINDIKET AH LONG GANAS, BERBAHAYA TUMPAS

Oleh Abu Hanifah Muhammad

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket Ah Long selepas menahan 12 individu dalam beberapa serbuan sekitar Johor Bahru, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur dari 15 hingga 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek itu berumur 23 hingga 46 tahun dan turut merampas 43 keping sim kad telefon bimbit, 14 unit komputer riba, 52 telefon bimbit pelbagai jenis, lima kenderaan dan lima unit external hardisk.

“Turut dirampas empat plastik lut sinar berisi cat merah, dua botol berisi 1.5 liter cat merah dan satu unit pemprosesan pusat (CPU).

“Semakan kad sim itu mendapati nombor yang digunakan ada terlibat dengan kes di Selangor, Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah.

“Mereka membeli sim kad ini secara pukal dan tiada pendaftaran di kedai. Sim kad tersebut digunakan dalam kegiatan ini. Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam hal ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, modus operandi mereka apabila peminjam gagal melunaskan hutang, Ah long menjadikan mereka sebagai pekerja yang akan menyimbah cat merah, menconteng dan membaling molotov cocktail bagi menyebabkan kebakaran di rumah peminjam lain yang gagal melunaskan hutang.

Mereka ujarnya, akan menghantar video serta gambar setelah membaling cat merah dan cocktail selain dipaksa sindiket itu untuk merantai rumah peminjam yang gagal membayar pinjaman serta meninggalkan nota ugutan bertujuan menakut-nakutkan mangsa.

Menurutnya, sindiket itu yang mempunyai rangkaian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang dipercayai bekerjasama dengan Ah Long di Singapura menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura.

“Segala urusan mereka dilakukan menerusi atas talian dengan semua pinjaman dilakukan secara transaksi. Peminjam langsung tidak berjumpa dengan Ah Long tersebut dan apabila gagal membayar, mereka ditawarkan bekerja dengan Ah Long tersebut.
“Hutang mereka akan dipotong selepas melakukan kerja-kerja yang disuruh Ah Long. Susulan itu kita menubuhkan satu task force bagi mengesan dan menangkap 12 suspek itu pada bulan lalu,” katanya.

Semua suspek katanya, disiasat di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang mendatangkan bencana di bawah Seksyen 427, 435 dan 436 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca). – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *