JOHOR BAHRU – Polis Johor melakukan 695 serbuan dan menangkap 1,018 individu yang terlibat dengan pelbagai aktiviti perjudian haram bagi tempoh dua bulan lalu di seluruh negeri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang Julai serbuan dilakukan melibatkan 256 lokasi perjudian dan menahan 363 individu serta merampas 182 telefon bimbit, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM49,641.

“Pada Ogos pula 439 serbuan dibuat dan polis menangkap 655 individu, merampas 386 telefon bimbit, tiga komputer, tiga komputer riba dan wang tunai RM178,515,” katanya kepada pemberita selepas operasi Bersepadu Pemotongan Kabel Premis di Taman Daya di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain dan Pengurus Pengurusan Kredit Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor Bahru, Suzana Hamaludin.

Operasi bersepadu berkenaan dijalankan di seluruh Johor pada hari ini membabitkan 65 pegawai dan anggota polis serta 42 kakitangan TNB selaras dengan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengenai operasi pada hari ini, beliau berkata, polis memohon pemotongan bekalan elektrik untuk 392 premis kepada TNB dan 146 premis mendapat kebenaran.

Katanya, pemotongan yang dilakukan di empat premis di Taman Daya itu melibatkan aktiviti judi yang berselindung di sebalik perniagaan restoran, kedai serbaneka, kedai buku dan kedai alat telekomunikasi.

Beliau berkata, taktik itu digunakan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa daripada dikesan dan terdapat premis yang sudah tiga atau empat kali diserbu pihak polis tetapi masih tidak serik.

Sehubungan itu, Ayob Khan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenaraihitamkan mana-mana pemegang lesen perniagaan yang menyalahgunanya bagi melindungi aktiviti perjudian di premis mereka.

“Ini bagi memastikan mereka tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang kerana siasatan mendapati ada premis berkenaan yang terus menjalankan aktiviti sama walaupun sudah beberapa kali diserbu.

“Kita harap tindakan memotong bekalan elektrik ini akan memberi satu mesej yang keras kepada sindiket perjudian ini,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *