ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perpaduan bekerjasama dengan tiga kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata,
inisiatif itu melibatkan Kementerian Perpaduan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Jawatankuasa teknikal tersebut ini dianggotai Ketua Setiausaha daripada empat kementerian terlibat.

“Tujuan utamanya untuk meletakkan kembali perkara berkenaan Rukun Negara dalam semua peringkat sistem pendidikan negara, bermula tadika sehingga peringkat pengajian tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Penghayatan Rukun Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2020 di Ruang Legar Bangunan Dato’Jaafar Muhamad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Exco Perdagangan, Perpaduan dan Pengguna Negeri Johor, Dr. Chong Fat Full.

Halimah berkata, pihaknya turut berhasrat menubuhkan Kelab Rukun Negara (KRN) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) di semua sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Pada masa ini katanya, terdapat 6,621 KRN di peringkat sekolah dan 172 SRN di peringkat IPT tetapi jumlah berkenaan masih tidak mencukupi. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *