PROJEK REHABILITASI SG. KIM KIM DALAM BELANJAWAN JOHOR 2021 @Hasni_Johor @Vidyananthan

PROJEK REHABILITASI SG. KIM KIM DALAM BELANJAWAN JOHOR 2021

JOHOR BAHRU – Projek Rehabilitasi Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang akan diusahakan empat universiti dicadangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2021 yang dijadual dibentangkan pada hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyanathan berkata, cadangan untuk mendapatkan peruntukan projek berkenaan dalam belanjawan negeri sudah dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Setakat ini pihaknya menerima maklum balas yang positif terhadap usaha projek itu yang bertujuan membangunkan semula kelestarian sungai dan meningkatkan kesedaran komuniti dalam pemuliharaan sungai.

“Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menjalankan projek ini.

“Projek ini akan dilakukan mengikut fasa bermula dengan UTM pada November ini. Setiap universiti awam tersebut akan memberikan input dan menyumbang kepakaran masing-masing dalam projek ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas syarahan perdana oleh Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusoff bertajuk ‘Penyelidikan Translasional: Pasir Gudang, Pontian dan Kemboja’ di UTM Skudai, di sini hari ini.

Gelombang pertama pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 7 Mac tahun lalu apabila murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Tadika Bestari mengalami pening, loya, muntah dan pengsan.

Pada 11 Mac tahun lalu, gelombang kedua berlaku dikesan di dua sekolah tersebut sebelum keesokanya merebak dan keadaan bertambah parah apabila para pelajar dari sembilan sekolah lain turut mengalami nasib yang sama.

Keadaan tersebut bertambah buruk dan Kementerian Pendidikan pada 13 Mac tahun lalu mengarahkan semua 111 sekolah di daerah ini ditutup diikuti semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Vidyanathan berkata, hasil kajian dan cadangan daripada pihak universiti terbabit akan turut melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Projek rawatan dan pemulihan itu akan menjadikan Sungai Kim Kim bersih daripada pencemaran sisa kilang, sekali gus kawasan tersebut sesuai sebagai tempat riadah termasuk untuk bersenam dan bersukan. – JT

(Visited 20 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: