ISKANDAR PUTERI – Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah dihadapi mereka terutama sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, R. Thiaga berkata, bagi memastikan masalah mereka diberi perhatian, pihaknya hari ini menghantar satu memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.

“Antara kandungan memorandum itu berkenaan isu pinjaman kredit kenderaan, tambang bas sekolah dan kadar sewaannya, pemberhentian pekerja dalam industri pengangkutan bas serta isu pengoperasian kenderaan haram.

“Ini termasuk isu tender kerajaan negeri kepada pengusaha tempatan, isu parkir perkidmatan bas di kawasan perumahan dan peluang pengiklanan pada badan kenderaan,” katanya ditemui selepas menyerahkan memorandum itu di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak di sini.

Thiaga mewakili lebih 60 pengusaha dan pemandu bas persiaran, bas sekolah dan bas pekerja yang bernaung di bawah pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata, antara isu yang paling serius adalah pinjaman peribadi dilakukan segelintir pengusaha bas daripada syarikat wang tanpa berlesen yang tidak melaksanakan moratorium.

“Pendapatan pengusaha bas sejak penularan pandemik COVID-19 serta penguatkuasaan PKP dan PKPP terjejas teruk. Ini mengakibatkan kami tidak dapat membayar pinjaman peribadi.

“Hingga kini lebih 15 kenderaan yang sudah ditarik sehingga mendesak kita menamatkan operasi. Ada yang terpaksa membayar pinjaman sebuah bas RM8,000 sebulan. Ada antara mereka kini ketakutan kerana diganggu syarikat peminjam wang tidak berlesen,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Solihan berkata, pihaknya akan meneliti memoranmdum tersebut dan memanjangkannya kepada semua agensi dan jabatan terlibat untuk tindakan lanjut secepat mungkin. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *