PENUNGGANG MAUT LANGGAR FORTUNER YANG MEMBELOK

Gambar: ihsan polis

KOTA TINGGI – Seorang penunggang maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 32.9,
Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, semasa kemalangan pada pukul 1 petang, Mohd. Amrizan Abdullah, 41,
dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Ladang Siang, Bandar Penawar di sini ke rumahnya di Kluang.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal RXZ mangsa dilanggar kenderaan utiliti sukan Toyota Fortuner di hadapan Restoran Mama Jeli Recipe.

“Semasa kejadian mangsa sedang berada di laluan menghala ke Kota Tinggi, Toyota Fortuner berkenaan tiba-tiba membelok masuk ke kawasan
parkir di restoran tersebut.

“Semasa membelok Toyota Fortuner berkenaan melanggar bahagian kiri motosikal mangsa sebelum terseret. Motosikal mangsa kemudian melanggar
kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang berada dalam kawasan parkir berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akibatnya mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

Mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan manakala pemandu lain tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 bagi mengetahui punca kejadian sebenar. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *