MUAR – Seorang penjawat awam dan tiga individu ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 9.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM830,000 di Jeti Nelayan Parit Jawa di sini pada 24 Ogos lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 6, Polis Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, serbuan dilakukan pada pukul 9 pagi semasa mereka sedang menyiapkan bekalan dadah jenis syabu untuk dipindahkan ke dalam bot.

“Sebelum itu penjawat awam yang berusia 43 tahun bersama-sama seorang rakannya dipercayai tekong darat berusia 40-an tiba di jeti itu sebelum didatangi dua lagi warga Indonesia dengan menaiki bot jenis fiber.

“Pihak polis kemudian membuat serbuan dan menemukan sembilan bungkusan dadah berwarna hijau seberat 9.3 kilogram yang dibungkus menggunakan plastik teh dianggar bernilai RM830,000,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Batalion 6 PGA Bakri di sini hari ini.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dan sebuah bot fiber dengan jumlah rampasan bernilai RM1.02 juta.

Menurutnya, hasil siasatan suspek mengaku sudah tiga kali melakukan aktiviti pengedaran dadah menggunakan jalan laut sepanjang tahun ini.

Semua suspek direman selama 14 hari bermula 25 Ogos lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *