PEMBANTU RUMAH, TEMAN LELAKI DITAHAN SAMUN RUMAH MAJIKAN

ISKANDAR PUTERI – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dan teman lelakinya ditahan kerana melakukan samun di rumah majikannya di Taman Nusa Idman, di sini pada 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 27 tahun ditahan dalam dua operasi berasingan di kawasan Ayer Keroh, Melaka.

Beliau memberitahu, tangkapan pertama dilakukan terhadap suspek lelaki yang merupakan warga tempatan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Ayer Keroh pada pukul 4 petang, 7 September lalu.

“Susulan penahanan lelaki tersebut pihak polis memberkas wanita Indonesia tersebut di kawasan Restoran Lebuh Raya Ayer Keroh pukul 7 petang 8 September lalu,” katanya dalam satu kenyataaan di sini hari ini.

Katanya, menerusi wanita itu pihaknya merampas tiga buah beg tangan pelbagai jenama, satu beg galas dan tiga utas rantai leher emas.

Sebelum kejadian itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima laporan pada pukul 8.54 malam 6 September lalu daripada seorang lelaki berusia 35 tahun memberitahu pembantu rumahnya sudah menghilangkan diri.

Mangsa yang merupakan seorang juruteknik memaklumkan dia bersama-sama isteri keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian pada pukul 2 petang, 6 September lalu.

Pasangan tersebut meninggalkan anak mereka yang berusia satu tahun bersama-sama wanita berkenaan untuk dijaganya.

“Semasa pulang ke rumah pada jam 6 petang, pasangan berkenaan mendapati anak perempuan mereka sedang tidur bersendirian dan pembantu rumah itu telah tiada.

“Pengadu buat pemeriksaan dalam rumah dapati barang-barang kemas, wang tunai serta beg tangan milik isteri pengadu telah hilang. Pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM12,400,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *