PEMANDU E-HAILING DIDAKWA TIPU RM2.4 JUTA

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 40 pertuduhan melakukan penipuan jual beli hartanah melibatkan wang berjumlah RM2.4 juta pada tahun lalu.

Tertuduh, Noridah Abdul Aziz, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R. Salini.

Noridah yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk tanda faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Noridah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa menipu seorang pemilik kedai motosikal berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Forest City, Iskandar Puteri.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2.483 juta ke dalam akaun sebuah bank tempatan menerusi beberapa transaksi sekitar bandar raya ini antara Mac hingga Julai, tahun lalu.

Dengan itu, Noridah dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun beserta sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew memohon mahkamah mengenakan jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, melibatkan jumlah keseluruhan wang jaminan sebanyak RM200,000.

Salini turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – JT

(Visited 44 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: