PELAN TINDAKAN BANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN JOHOR

JOHOR BAHRU – Sebuah pelan tindakan pembangunan sektor pelancongan untuk tempoh 10 tahun akan dilancar pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan tindakan itu merupakan hala tuju industri pelancongan di Johor melibatkan semua destinasi pelancongan daerah yang berpotensi dibangunkan.

“Ketika ini kita sedang rangka pelan tindakan tersebut. Selepas ini walaupun Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri atau kerajaan negeri bertukar tetapi pelan tindakan ini akan tetap diteruskan.

“Sebelum ini kita tidak ada pelan tindakan dan kali terakhir kita ada pelan tindakan sebegini 10 tahun lalu. Pelan tindakan ini merupakan perancangan jangka panjang yang akan dibantu kerajaan Pusat,” katanya selepas Majlis Pelepasan Farmtirp Majestic Johor Bersama Media di pekarangan Pusat Maklumat Pelancongan Johor (Jotic), di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat 93 pulau yang cantik dan menarik di Mersing tetapi hanya lima pulau dibangunkan dan popular iaitu Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil.

Sedangkan terdapat banyak pulau lain di daerah tersebut berpotensi dibangunkan kerana keindahan pantainya sama seperti pulau-pulau pelancongan di Thailand yang menjadi tarikan pelancong seluruh dunia, katanya.

Pulau-pulau yang indah dan berpotensi itu akan dimasukkan dalam pelan tindakan tersebut, begitu juga akan memajukan dan membangunkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di setiap daerah.

“Bayangkan Pulau Tioman bersebelahan dengan Mersing yang menjadi sempadan dua negeri. Mereka yang nak pergi Tioman kena lalu Mersing. Pulau Tioman hanya ada satu pulau sedangkan di Mersing ada 93 pulau,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, syarikat berkaitan pelancongan dan hotel di negeri ini mengalami kerugian termasuk ditutup akibat COVID-19 kerana banyak bergantung kepada pelancong terutamanya dari Singapura.

Tambahnya, antara yang paling terkesan adalah sektor perhotelan di daerah ini dan bagi mengatasi masalah tersebut, Tourism Johor akan lebih memberi tumpuan terhadap pelancong tempatan daripada bergantung dengan pelancong Singapura. – JT

(Visited 20 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: