PELACURAN: SEDIA BUKU 555, KHIDMAT PENGHANTARAN TURUT DISEDIAKAN

JOHOR BAHRU – Macam-macam taktik digunakan penjenayah termasuk oleh sindiket pelacuran supaya kegiatan mereka tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Antaranya dengan kaedah langgan dahulu, bayar kemudian bagi menarik minat pelanggan mereka, khususnya dalam kalangan warga asing sejak tahun 2018.

Namun, ibarat kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Hasil risikan pihak polis, kegiatan itu berjaya dibongkar dalam serbuan Ops Noda di lima hotel murah, di sini petang semalam dan Khamis lalu yang berjaya menahan 44 individu terdiri daripada pelacur, pelanggan dan penganjur kegiatan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu malah dikesan menyediakan ‘buku 555’ yang membolehkan pelanggan berhutang untuk mendapatkan khidmat pelacur.

Dalam serbuan berkenaan, selain penahanan 21 wanita warga Vietnam, sembilan wanita Indonesia dan seorang Thailand berumur antara 19 dan 36 dipercayai pelacur, turut ditangkap 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 31 dan 63 tahun yang disyaki ‘penganjur’ kegiatan itu.
Polis turut merampas 15 telefon bimbit, 125 keping kondom, tujuh keping kad akses pintu hotel, dua tiub minyak pelincir, satu botol minyak urut, lapan helai tuala mandi, lapan tisu gulung dan wang tunai RM1,670.

“Kegiatan pelacuran beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan dikatakan mengenakan bayaran antara RM190 hingga RM650 bergantung kepada pakej yang ditawarkan,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (JPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan memberitahu, selain menyediakan buku 555, pelbagai kaedah digunakan sindiket itu bagi menarik kehadiran pelanggan, termasuk mempromosikan gambar-gambar pelacur menerusi aplikasi WeChat, MiChat dan WhatsApp, di samping mempamerkan gambar-gambar pelacur dalam telefon kepada pelanggan yang lalu-lalang di hadapan premis.

Selain itu, menurutnya, sindiket juga menyediakan perkhidmatan penghantaran pelacur ke tempat dikehendaki pelanggan termasuk ke rumah-rumah dengan kadar penghantaran antara RM20 hingga RM50, bergantung jarak dan kebanyakan pelanggan merupakan warga asing.

Beliau berkata sebahagian daripada pelacur yang ditahan memiliki pas lawatan sosial yang sah, manakala selebihnya sama ada pas lawatan telah tamat tempoh atau memasuki negara ini secara haram.

Kesemua tangkapan kini direman selama seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 372 dan 373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ayob Khan berkata sejak awal tahun sehingga bulan lepas, pihaknya telah menahan 1,788 individu melibatkan 768 warga tempatan dan 1,019 warga asing menerusi 337 Ops Noda dilaksanakan. – JT

(Visited 12 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: