PBT DIMINTA BANTU RAKYAT, MUDAHKAN URUSAN – HASNI

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 termasuk memberi ruang mereka berniaga.

Beliau berharap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) boleh memulakan usaha dengan mengambil apa juga langkah untuk membantu golongan yang kehilangan pekerjaan tersebut menyara kehidupan keluarga.

“Saya mengharapkan agar MBJB mengambil apa juga langkah yang boleh, kita bantulah. Bukanlah saya kata kita benarkan sesiapa pun berniaga sehingga bandar raya ini terus tunggang-langgang.

“Tidak, tetapi kita perlu mengambil langkah-langkah yang luar daripada kebiasaan. Kalau boleh kita mudahkan lebih banyak lagi program-program foodtruck yang boleh libatkan lebih ramai lagi orang mencari ruang dan peluang untuk menyara hidup mereka.

“Saya tidak mengatakan bahawa jangan buat penguatkuasaan, tetapi guna kaedah yang baharu. Tunjukkan keprihatinan atau pun rasa simpati kita kepada masyarakat dalam semua sektor yang ada di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat bangunan pejabat baharu MBJB, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Haji Adib Azhari Daud.

Menteri Besar turut berharap supaya kehadiran pegawai dan anggota penguat kuasa tidak menakutkan masyarakat, sebaliknya sentiasa dialu-alukan.

“Kali ini kalau boleh kenderaan penguat kuasa datang sahaja, semua orang datang bertumpu di kenderaan tersebut kerana itu adalah bantuan untuk meringankan beban mereka, bukan hendak menakut-nakutkan orang,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor juga tidak mahu pembangunan di bandar raya ini hanya berkisar terhadap bangunan konkrit semata-mata, sebaliknya mempunyai jiwa dan roh di dalamnya.

“Kita tidak mahu menjadi bandar raya yang hanya dilihat simboliknya bangunan-bangunan tinggi atau moden, tetapi kalau boleh juga ada sentuhan nyawanya, ada rohnya. Contohnya dalam keadaan ekonomi yang sukar ketika kita menghadapi pandemik COVID-19, PBT tampil dengan usaha-usaha membantu warganya sebagai contoh, untuk berniaga.

“Tiada perniagaan yang senang pada waktu ini. Pertemuan saya dengan YAB Perdana Menteri pun beberapa kali beliau mengingatkan saya bahawa rakyat susah di bawah, rakyat perlukan tindakan segera. Tidak boleh keadaan seperti biasa,” katanya.

Menteri Besar kemudian turut melawat ibu pejabat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Iskandar Puteri.

(Visited 12 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: