MAQIS JOHOR RAMPAS 2 KONTENA BULU BIRI-BIRI

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan dua buah kontena membawa bulu biri-biri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, pemeriksaan pada jam 3 petang oleh Pegawai Penguat Kuasa Maqis PTP ke atas dua kontena dari Jerman itu menemikan terdapat 39,586 kilogram bulu biri-biri bernilai RM330,289.

Katanya, bulu biri-biri tersebut dibawa masuk untuk diproses di Malaysia sebelum dieskport semula.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bulu biri-biri tersebut tidak mematuhi syarat import seperti dinyatakan dalam permit Maqis, iaitu bulu biri-biri tersebut tidak menjalani rawatan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun, iaitu pemandu lori, disiasat.

Beliau berkata, semua bulu biri-biri tersebut disita pihak Maqis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika disabitkan kesalahan, pengimport boleh didakwa di bawah Seksyen 15(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *