JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang sedang menikmati sarapan di sebuah restoran mamak terkejut apabila terdengar bunyi yang kuat berhampiran Jalan Meldrum di sini semalam.

Apabila diperiksa, lelaki berusia 23 tahun itu mendapati seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di atas siar kaki jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian itu disedari seorang lelaki berkenaan pada pukul 7.50 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Lekaki yang ditemukan terbaring itu berumur 29 tahun, sebelum itu dia dilihat masuk ke bangunan Merlin Tower dengan menaiki lif dari dalam Hotel JB Sentral dan naik ke tingkat 20 sebelum dipercayai terjun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutya, pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mengesahkan kematian mangsa pukul 8.45 pagi.

Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik HSA untuk dibedah siasat, katanya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bersabit kes berkenaan boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerusi 07-2182323,” ujarnya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *