LELAKI MAUT KERETA TERBABAS, LANGGAR PEMBAHAGI JALAN

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, Omar Moidony, 52, yang bertolak dari kilang tempatnya bekerja di Taman Gembira di sini dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain berkata, sejurus kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak itu, mangsa tidak sedarkan diri, sekali gus memyebabkan keretanya terkunci secara automatik.

“Pihak bomba sampai dan berjaya buka pintu kenderaannya sebelum pegawai perubatan membuat pemeriksaan pada tubuh badan mangsa dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan katanya, tidak ditemui sebarang kecederaan atau kesan yang meragukan, tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Semasa tiba di lokasi terdapat seorang mangsa lelaki tidak sedarkan diri dalam keadaan memijak minyak, enjin masih hidup dan gear dimasukkan,” katanya.

Ketua operasi mengarahkan anggota memecahkan cermin tingkap bahagian belakang sebelah penumpang untuk anggota penyelamat masuk ke dalam kenderaan bagi meneutralkan gear, menarik brek tangan dan mengeluarkan mangsa,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *