LEBIH 30 MINIT DALAM TANDAS SEBELUM DITEMUKAN MATI

Gambar: ihsan bomba

MUAR – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas sebuah pejabat di Taman Khalidi Baru, di sini hari ini.

Zainal Abidin Md Yusof, 47, pada mulanya masuk ke dalam tandas jam 10.34 pagi dan tidak keluar lagi selepas itu.

Kira-kira setengah jam kemudian, rakan sekerjanya yang curiga mengetuk pintu dan memanggil mangsa beberapa kali tetapi tiada sahutan.

Rakan mangsa kemudian meninjau melalui tingkap tandas dan melihat mangsa terbaring tanpa memberi apa-apa tindak balas ketika dipanggil sebelum menghubungi bomba bagi membantu mengeluarkan lelaki itu.

Seramai 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dihantar ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata, pihaknya bertindak membuka pintu tandas dengan menggunakan peralatan khas sebelum menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat mangsa tamat jam 11.05 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *