JOHOR BAHRU – Ketagih judi menjadi penyebab utama ramai yang meminjam wang daripada ceti haram atau ah long!

Demikian pendedahan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang memberitahu, judi menjadi penyebab utama yang menyumbang terhadap statistik kes meminjam wang daripada ceti haram itu di negeri bagi lapan bulan pertama tahun ini.

Polis Johor sudah membuka 398 kertas siasatan melibatkan kes ah long dari Januari hingga bulan lalu.

Beliau memberitahu, daripada jumlah berkenaan, 118 disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, manakala 280 lagi disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor.

“Selain meminjam dengan ah long kerana berjudi, faktor kedua penyumbang tertinggi statistik kes ah long ialah mereka mahu membuka perniagaan tetapi perniagaan tidak berjaya. Akibatnya, peminjam ini dan ahli keluarga mereka mendapat kesannya.

“Kita menerima banyak aduan orang awam, rumah disimbah cat merah dan dibaling ‘molotov cocktail’ kerana ada ahlli keluarga mereka meminjam dengan ah long tetapi gagal membayarnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Sebelum tangkapan dari Januari hingga Ogos lalu itu, lapan individu terlibat kegiatan ah long telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) yang dikenakan tahanan dan pengawasan.

Terdahulu, Ayob menyempurnakan Majlis Penyerahan 35 Kereta Peronda Polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 S di Padang Kawad IPK Johor di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad.

Banyak kes membabitkan ceti haram tersebut tetapi tidak dilaporkan kepada polis namun polis Johor masih meneruskan siasatan untuk menjejaki dalang di sebalik sindiket ah long.

Menurutnya, operasi secara bersepadu antara pihak JSJ dan JSJK negeri.

“Polis Johor menasihatkan orang awam supaya tidak membuat pinjaman atau berurusan dengan ah long atau pemberi pinjam wang tanpa lesen sebaliknya menggunakan perkhidmatan institusi perbankan yang berlesen dan berdaftar,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *