KES BULI ATM: POLIS RAKAM 10 SAKSI

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU – Polis Johor sudah merakam keterangan 10 saksi kes kematian anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meninggal dunia akibat terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di Kem Majidee, Batu Pahat, 29 Ogos lalu.

Keterangan tersebut diambil baru-baru ini yang melibatkan dua pegawai, tujuh anggota serta seorang awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, laporan awal bedah siasat mendapati tiada kecederaan fizikal dan penderaan yang boleh dikaitkan dengan kematian Allahyarham Abdul Aziz Aznam.

“Ini termasuk tiada kecederaan luar atau tiada unsur-unsur jenayah menyebabkan kematian mangsa. Kita masih lagi menunggu laporan (penuh) makmal. Setakat ini itu yang kita ada.

“Kita juga ambil keterangan seorang saksi yang juga anggota tentera yang nampak mangsa lari dan lompat terjun dari tingkat tiga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan selepas dipercayai cuba membunuh diri terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di kem tentera tersebut.

Mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat bagaimanapun menghembus nafas terakhir pada pukul 2.30 petang, 6 September lalu.

Ahli keluarga mangsa mendakwa, Abdul Aziz bertindak demikian selepas tidak tahan dibuli ketika menjalani latihan di kem tentera terbabit.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan polis turut mendapati mangsa dipercayai lari daripada tugas selama 218 hari.

Katanya, selepas anggota tersebut tamat latihan asas ketenteraan, mangsa mengikut latihan asas komando pasukan Grup Gerak Khas (GGK) ATM.

“Mungkin di situ ada isu-isu berkaitan dengan daya tahan untuk melalui kursus-kursus yang lasak, mungkin situ ada tekanan psikologi, memang latihan pasukan khas ini agak lasak,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *