JOHOR WUJUD PUSAT PEMULIHAN AKIDAH

KULAI – Negeri ini akan mewujudkan Pusat Pemulihan Akidah tahun depan bertujuan memulihkan akidah umat Islam yang terlibat dalam ajaran sesat dan fahaman liberal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pusat itu akan mengikut modul khusus yang ditetapkan bagi memastikan golongan terbabit menerima kaunseling dan kefahaman lebih berkesan.

“Antara agenda utama yang saya perjuangkan ialah pemerkasaan akidah umat Islam di negeri Johor untuk terus berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran As-Asyairah dan Al-Maturidiah.

“Sehingga akan dilancarkan modul akidah dan pusat pemulihan akidah yang akan dilancarkan pada tahun 2021,” katanya ketika berucap dalam
Majlis Perasmian Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor di Bandar Putra, di sini hari ini.

Perasmian majlis itu serentak dengan pelancaran kitab Kesultanan Islam Johor yang akan menjadi subjek bahan pengajaran di semua sekolah agama kerajaan Johor disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md. Rofiki A. Shamsudin.

Sementara itu, Tosrin berkata, penyebaran fahaman liberal di negeri ini yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak serius dan masih terkawal.

Beliau mendedahkan, penyebaran itu dilakukan dalam media sosial secara terancang dan sasaran mereka adalah golongan 40 tahun ke bawah. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *