JOHOR LAKSANA FISKAL DRASTIK PASTIKAN KEWANGAN STABIL – HASNI

JOHOR LAKSANA FISKAL DRASTIK PASTIKAN KEWANGAN STABIL

KOTA ISKANDAR – Johor mengambil beberapa langkah fiskal yang drastik bagi memastikan kewangan negeri kekal stabil, kukuh dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, usaha itu termasuk perlaksanaan semakan semula Belanjawan 2020 dengan penelitian dan penstrukturan perbelanjaan jabatan di bawah kerajaan negeri.

“Langkah ini melibatkan semakan dan penjajaran semula peruntukan jabatan supaya difokuskan terhadap peningkatan daya tahan ekonomi dan sosial rakyat Johor.

“Semakan semula belanjawan ini turut mengambil kira peruntukan sebanyak RM174.46 juta bagi perlaksanaan 54 inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan Siri 2,” katanya semasa menjawab soalan K. Raven (Tenggaroh-PN) berkenaan langkah fiskal yang sedang dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan kewangan negeri stabil dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Menteri Besar berkata, semua langkah yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan Siri 2 adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan membebankan kewangan kerajaan negeri dalam jangka masa sederhana dan panjang.

”Kerajaan negeri akan melaksanakan konsolidasi fiskal dan tindakan itu bakal menggerakkan ekonomi Johor semula pasca pandemik COVID-19 selain tumpuan terhadap usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan Kerajaan.

“Kerajaan negeri juga memperkenalkan dasar yang bersesuaian untuk semua sektor ekonomi dan sosial yang mampu menjadikan negeri lebih berdaya tahan pada masa mendatang,” katanya.

Selain itu, Johor menjadi negeri pertama menubuhkan majlis ekonomi dinamakan sebagai Ibrahim Johor Economic Council (IJEC), sekali gus menjadi usaha pemulihan ekonomi COVID-19 menerusi enam sektor dikenal pasti, katanya.

“Ini melibatkan sektor pelancongan, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pembuatan dan perdagangan, sektor pembinaan dan hartanah,sektor modal insan serta sektor pertanian dan asas tani,” katanya.- JT

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: