KOTA TINGGI – Suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anak sulungnya di Tanah Perkuburan Islam, Felda Sening, di sini malam tadi.

Jenazah Leftenan Maritim Md. Firdaus Omar, 35, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, selamat disemadikan pada pukul 12.30 tengah malam
yang turut dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan pegawai serta anggota APMM dari beberapa negeri.

Upacara pengebumian dan kawalan jenazah dilakukan pihak APMM sebagai penghormatan terakhir kepada jenazah yang diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Ardi Mat Nawi bersama-sama 32 pegawai APMM Johor.

Turut mengiringi jenazah adalah sahabat-sahabat Allahyarham dari Ibu Pejabat APMM Putrajaya, APMM Johor, APMM Terengganu, APMM Pahang, APMM Selangor dan APMM Negeri Sembilan/Melaka serta Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Kuantan, Pahang.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria diiringi Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menyerahkan ensign Maritim Malaysia kepada abang Allahyarham, Junaidi Omar.

Penyerahan ensign itu sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham atas jasa bakti serta sumbangan beliau kepada APMM dan negara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Mohd Sebari, 30, dua anak, Nur Athiyaah Rafhanali, 6, dan Nur Alfiyyah Rasyadah, 2.

Kedua-dua beranak itu terlibat kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, pukul 7 malam kelmarin.

Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Honda Vario bersama-sama anaknya itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *