JEFRIDIN DIPILIH SEBAGAI AHLI DEWAN NEGARA

KOTA ISKANDAR – Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai Ahli Dewan Negara.

Persetujuan dibuat selepas usul memilih beliau dicadangkan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad pada persidangan DUN Johor Ke-14, di sini.

Pemilihan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 1(2) Jadual 7 Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan Menteri Besar disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali.

Jefridin, 52, berpengalaman luas dalam bidang politik serta memainkan peranan aktif menyampaikan pelbagai isu kepada agensi kerajaan.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1991 dan Diploma Pendidikan dari universiti yang sama.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Siswazah dari tahun 1999 hingga tahun 2005.

Seterusnya beliau bertugas sebagai Setiausaha Sulit dan Pegawai Khas kepada YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Kelima) bermula pada tahun 2001 hingga kini,” katanya.

Pada sidang sama, Ketua Pembangkang Johor, YB Aminolhuda Hassan turut mencadangkan satu nama lain, iaitu bekas Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Namun, usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Negeri, Suhaizan Kayat.

Beliau menegaskan, hanya satu nama dikemukakan dalam usul berkenaan, iaitu Datuk Jefridin dan hanya nama tersebut yang dipilih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *