JADIKAN PERPADUAN SUATU KEBIASAAN, HAYATI & AMALKAN RUKUN NEGARA

KOTA ISKANDAR – Semua lapisan masyarakat, khususnya rakyat Johor diminta menjadikan semangat perpaduan sebagai suatu kebiasaan bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan aman, sentosa dan harmoni.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, pembinaan negara bangsa yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia bukan perkara yang mudah.

Menurut beliau, peristiwa hitam 13 Mei 1969 telah menjadi titik temu bagi semua kaum supaya saling mengikat tali perpaduan dan semangat muhibah dengan menyemai prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

“Oleh itu, aspek perpaduan adalah elemen terpenting dalam Rukun Negara.

“Saya ingin mengingatkan bahawa Rukun Negara bukan sekadar untuk dihafal atau dilafazkan, sebaliknya perlu dihayati dan diamalkan. Sesungguhnya, Rukun Negara adalah Rukun Perpaduan bagi kita semua sebagai Bangsa Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2020, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, YB Dr. Chong Fat Full.

YAB Menteri Besar menegaskan, Rukun Negara juga merupakan ideologi kebangsaan yang perlu didukung oleh semua lapisan masyarakat tanpa batasan kaum, adat resam dan anutan agama.

“Sematkan perpaduan sentiasa dalam hati kerana dari hatilah kita akan menzahirkannya dalam setiap tindakan, sekali gus boleh menyatukan kita semua tanpa mengira jurang agama, bangsa dan budaya,” katanya.

Beliau berkata, semangat perpaduan juga merupakan elemen yang amat penting lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan sesuatu krisis.

“Saya amat berbangga dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh Bangsa Johor dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Walaupun adakalanya perpaduan dan penyatuan kita diuji, namun berkat kebijaksanaan dan permuafakatan yang jitu, perbezaan dan persengketaan yang wujud dapat ditangani dengan baik,” katanya. – JT

(Visited 10 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: